Tuesday, November 5, 2013

Tajamnya lidah daripada pedang - Bakalnisasi dalam media menggoncang perpaduan negara

           Sifat keterbukaan (low context culture) merupakan suatu definisi yang diberikan terhadap masyarakat barat manakala sifat kesopanan (high context culture) pula untuk masyarakat timur. Ianya merupakan satu teori yang meletakkan takrifan bahawa masyakakat barat memiliki sifat lebih liberal daripada masyarakat timur yang tebal dengan santun, tabu dan budaya. Dalam amalan media dan komunikasi, masyarakat di barat lebih terbuka dalam membincangkan pelbagai isu termasuk politik, sosial dan sebagainya.

WikiLeaks merupakan contoh mudah dalam menjustifikasikan perihal topik ini. Ianya merupakan satu laman sesawang yang diasaskan oleh Julian Assange, bertujuan untuk mendedahkan maklumat sulit dan informasi berprofil tinggi dari seluruh dunia, termasuk rahsia kerajaan dan organisasi berpengaruh, skandal ahli politik dan sebagainya.


 Pengasas WikiLeaks, Julian Assange


          Sifat keterbukaan di media terutamanya melalui medium media sosial dilihat semakin menular dan agresif di bahagian Asia, termasuk Malaysia. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Artikel Tiga di bawah Seksyen Tiga Perlembagaan Malaysia telah membenarkan rakyat untuk menyatakan idea dan pendapat masing-masing, lantas secara terangan membenarkan kebebasan bersuara. Oleh kerana tiada sekatan undang-undang yang menghalang blogger mahupun pengguna untuk melampiaskan idea dan pendapat mereka di laman sosial, maka sesetengah pihak telah menyalahgunakan kebebasan ini untuk kepentingan dan agenda masing-masing.

Segregasi vs Integrasi

            Bakalnisasi media boleh diertikan sebagai paparan satu analogi terhadap gejala media yang memisahkan masyarakat dan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu yang akhirnya menimbulkan permusuhan di antara satu sama lain atas faktor ketidaksefahaman. Segregasi ini wujud atas banyak faktor. Isu politik, perkauman, ekonomi dan isu sosial menjadi antara faktor yang sering menimbulkan pertikaman lidah di antara pengguna dan kadang-kala membawa kepada perhimpunan haram dan mogok.



 Perhimpunan BERSIH diadakan bagi menuntut pilihanraya yang lebih telus dan bersih



HINDRAF merupakan satu gabungan NGO India yang bertindak untuk mempertahankan hak-hak kaum India di Malaysia


            Landskap politik Malaysia sentiasa berubah dari sehari ke sehari seiring dengan transisi pemerintahan dari era Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi hinggalah era pemerintahan Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kini. Namun, integrasi yang diperkenalkan ketiga-tiga pemimpin, malahan dua orang pemimpin terdahulu dilihat masih belum cukup berjaya kerana isu integrasi kaum acap kali berlaku, antaranya peristiwa 13 Mei 1969, insiden Kampung Rawa dan peristiwa Kampung Medan.

            Pelbagai isu ditimbulkan melalui pelbagai medium dan kini, medium media sosial menjadi antara yang paling polular untuk dijadikan wadah menyebarkan ideologi dan propaganda pihak tidak bertanggungjawab. Akhirnya, segregasi wujud dan menjadi jurang yang memisahkan antara kaum dan menggagalkan usaha murni kerajaan untuk menyatupadukan rakyat dalam Gagasan 1Malaysia.


Kolonisasi dalam politik

            Politik seharusnya menjadi satu medan untuk perpaduan dan menyatukan seluruh rakyat dalam sesebuah negara. Namun demikian, berpaksikan mentaliti yang salah, sesetengah pihak menggunakan politik untuk dijadikan medium dalam menyampaikan dakyah dan fatwa yang salah yang akhirnya mewujudkan bakalnisasi dalam integrasi yang cuba dipupuk.

            Selain daripada itu, pemilikan saham oleh ahli politik dalam sesebuah organisasi media juga menjadi salah satu faktor dalam bakalnisasi yang wujud di negara ini. Selaku pemilik, mereka mengawal informasi-informasi yang disampaikan kepada penonton dan bertindak selaku ‘gate-keeper’ dalam menentukan jenis dan bentuk maklumat yang diberi.

            Hal ini menyebabkan media seperti televisyen, radio dan surat khabar menjadi terkongkong dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Informasi yang disiar melalui kaca televisyen mahupun helaian surat khabar dilihat bersifat partisan dan cenderung kepada sesuatu pihak tanpa penjelasan pihak kedua. Lantas, masyarakat sebagai pihak ketiga mengambil inisiatif dan anjakan paradigma dengan mencari saluran informasi lain dalam mendapatkan maklumat yang penuh. Mereka ini memilih saluran internet kerana ianya tidak memiliki ‘gate-keeper’ untuk mengawalnya.

            Malangnya, sebahagian besar pengendali laman sesawang seperti blog dan akhbar online hanya bergelar ‘citizen journalist’ iaitu penyampai maklumat yang tidak profesional. Oleh kerana mereka tidak memiliki ilmu apatah lagi etika kewartawanan, tulisan mereka menjadi semberono bersama fakta yang diragui kesahihannya. Selain itu, obsesi melampau penulis-penulis ini terhadap sesuatu pihak menyebabkan mereka gagal mengimbangi hasil penulisan mereka dengan fakta yang benar. Maka, wujudlah bakalnisasi dalam masyarakat Malaysia hari ini hasil daripada pemahaman yang salah oleh para pembaca.


Bakalnisasi dan media kita

            Seyogia, masyarakat Malaysia perlu menjadi lebih bijak dan matang dalam memilih maklumat, terutamanya maklumat yang datang dari sumber yang tidak sahih seperti blog, email dan sebagainya. Bukan menidakkan seratus peratus kebenaran yang ditulis di laman sesawang, tetapi ianya perlulah disusuli dengan bukti dan fakta yang menyokong dakwaan tersebut dan bukan sekadar suatu tuduhan tanpa alasan.

            Seterusnya, media secara generalnya termasuk media arus perdana dan media alternatif perlulah bersifat lebih neutral dalam memenuhi ruang slotnya dengan informasi yang tidak kelihatan condong sebelah agar masyarakat boleh mendapatkan maklumat yang benar dari setiap pihak.


            Media sebagai fourth estate mampu memberi sinar baru dalam integrasi kaum di Malaysia. Warna-warni kaum dan budaya yang terdapat di Malaysia haruslah dikekalkan kerana keunikan inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang indah dan menarik. Bakalnisasi yang wujud pada hari ini perlu dihapuskan agar kejituan antara setiap masyarakat dalam disemai dan dipupuk seiring dengan matlamat 1Malaysia.

1 comment:

  1. Malaysia is a multi-cultural country that welcomes people from different cultures with an open heart and it should remain like this. It is an example of open heart without racism.

    ReplyDelete