Sifat keterbukaan (low context culture)
merupakan suatu definisi yang diberikan terhadap masyarakat barat manakala
sifat kesopanan (high context culture) pula untuk masyarakat timur. Ianya merupakan
satu teori yang meletakkan takrifan bahawa masyakakat barat memiliki sifat
lebih liberal daripada masyarakat timur yang tebal dengan santun, tabu dan
budaya. Dalam amalan media dan komunikasi, masyarakat di barat lebih terbuka
dalam membincangkan pelbagai isu termasuk politik, sosial dan sebagainya.
WikiLeaks merupakan contoh mudah dalam
menjustifikasikan perihal topik ini. Ianya merupakan satu laman sesawang yang
diasaskan oleh Julian Assange, bertujuan untuk mendedahkan maklumat sulit dan
informasi berprofil tinggi dari seluruh dunia, termasuk rahsia kerajaan dan
organisasi berpengaruh, skandal ahli politik dan sebagainya.
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange
Sifat
keterbukaan di media terutamanya melalui medium media sosial dilihat semakin
menular dan agresif di bahagian Asia, termasuk Malaysia. Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 dan Artikel Tiga di bawah Seksyen Tiga Perlembagaan Malaysia
telah membenarkan rakyat untuk menyatakan idea dan pendapat masing-masing,
lantas secara terangan membenarkan kebebasan bersuara. Oleh kerana tiada
sekatan undang-undang yang menghalang blogger mahupun pengguna untuk
melampiaskan idea dan pendapat mereka di laman sosial, maka sesetengah pihak
telah menyalahgunakan kebebasan ini untuk kepentingan dan agenda masing-masing.
Segregasi vs Integrasi
Bakalnisasi
media boleh diertikan sebagai paparan satu analogi terhadap gejala media yang
memisahkan masyarakat dan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu yang akhirnya
menimbulkan permusuhan di antara satu sama lain atas faktor ketidaksefahaman.
Segregasi ini wujud atas banyak faktor. Isu politik, perkauman, ekonomi dan isu
sosial menjadi antara faktor yang sering menimbulkan pertikaman lidah di antara
pengguna dan kadang-kala membawa kepada perhimpunan haram dan mogok.
Perhimpunan BERSIH diadakan bagi menuntut pilihanraya yang lebih telus dan bersih
HINDRAF merupakan satu gabungan NGO India yang bertindak untuk mempertahankan hak-hak kaum India di Malaysia
Landskap
politik Malaysia sentiasa berubah dari sehari ke sehari seiring dengan transisi
pemerintahan dari era Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi hinggalah
era pemerintahan Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak kini. Namun, integrasi
yang diperkenalkan ketiga-tiga pemimpin, malahan dua orang pemimpin terdahulu
dilihat masih belum cukup berjaya kerana isu integrasi kaum acap kali berlaku,
antaranya peristiwa 13 Mei 1969, insiden Kampung Rawa dan peristiwa Kampung
Medan.
Pelbagai
isu ditimbulkan melalui pelbagai medium dan kini, medium media sosial menjadi
antara yang paling polular untuk dijadikan wadah menyebarkan ideologi dan
propaganda pihak tidak bertanggungjawab. Akhirnya, segregasi wujud dan menjadi
jurang yang memisahkan antara kaum dan menggagalkan usaha murni kerajaan untuk
menyatupadukan rakyat dalam Gagasan 1Malaysia.
Kolonisasi dalam politik
Politik
seharusnya menjadi satu medan untuk perpaduan dan menyatukan seluruh rakyat
dalam sesebuah negara. Namun demikian, berpaksikan mentaliti yang salah,
sesetengah pihak menggunakan politik untuk dijadikan medium dalam menyampaikan
dakyah dan fatwa yang salah yang akhirnya mewujudkan bakalnisasi dalam integrasi
yang cuba dipupuk.
Selain
daripada itu, pemilikan saham oleh ahli politik dalam sesebuah organisasi media
juga menjadi salah satu faktor dalam bakalnisasi yang wujud di negara ini. Selaku
pemilik, mereka mengawal informasi-informasi yang disampaikan kepada penonton
dan bertindak selaku ‘gate-keeper’ dalam menentukan jenis dan bentuk maklumat
yang diberi.
Hal
ini menyebabkan media seperti televisyen, radio dan surat khabar menjadi
terkongkong dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Informasi yang
disiar melalui kaca televisyen mahupun helaian surat khabar dilihat bersifat
partisan dan cenderung kepada sesuatu pihak tanpa penjelasan pihak kedua. Lantas,
masyarakat sebagai pihak ketiga mengambil inisiatif dan anjakan paradigma
dengan mencari saluran informasi lain dalam mendapatkan maklumat yang penuh.
Mereka ini memilih saluran internet kerana ianya tidak memiliki ‘gate-keeper’
untuk mengawalnya.
Malangnya,
sebahagian besar pengendali laman sesawang seperti blog dan akhbar online hanya
bergelar ‘citizen journalist’ iaitu penyampai maklumat yang tidak profesional.
Oleh kerana mereka tidak memiliki ilmu apatah lagi etika kewartawanan, tulisan
mereka menjadi semberono bersama fakta yang diragui kesahihannya. Selain itu,
obsesi melampau penulis-penulis ini terhadap sesuatu pihak menyebabkan mereka
gagal mengimbangi hasil penulisan mereka dengan fakta yang benar. Maka,
wujudlah bakalnisasi dalam masyarakat Malaysia hari ini hasil daripada
pemahaman yang salah oleh para pembaca.
Bakalnisasi dan media kita
Seyogia, masyarakat Malaysia perlu
menjadi lebih bijak dan matang dalam memilih maklumat, terutamanya maklumat
yang datang dari sumber yang tidak sahih seperti blog, email dan sebagainya. Bukan
menidakkan seratus peratus kebenaran yang ditulis di laman sesawang, tetapi
ianya perlulah disusuli dengan bukti dan fakta yang menyokong dakwaan tersebut
dan bukan sekadar suatu tuduhan tanpa alasan.
Seterusnya,
media secara generalnya termasuk media arus perdana dan media alternatif
perlulah bersifat lebih neutral dalam memenuhi ruang slotnya dengan informasi
yang tidak kelihatan condong sebelah agar masyarakat boleh mendapatkan maklumat
yang benar dari setiap pihak.
Media
sebagai fourth estate mampu memberi sinar baru dalam integrasi kaum di
Malaysia. Warna-warni kaum dan budaya yang terdapat di Malaysia haruslah
dikekalkan kerana keunikan inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang
indah dan menarik. Bakalnisasi yang wujud pada hari ini perlu dihapuskan agar
kejituan antara setiap masyarakat dalam disemai dan dipupuk seiring dengan
matlamat 1Malaysia.